HARI KETIGA PULUH ENAM
Kami mengumpulkan peralatan dan mula menyelinap masuk ke kawasan musuh secara senyap. Misi utama kami adalah mematikan protokol sebelum ia diaktifkan. Jika berjaya, ancaman hari terasing akan dapat dielakkan, menyelamatkan semua orang.
Dalam perjalanan menuju lokasi protokol, Roger tidak henti-henti membebel tentang tindakan SCI. "Sepatutnya kita cari protokol ini lebih awal! Kenapa tunggu sampai hari ini?" rungutnya.
"Diam dan teruskan berjalan," jawab Ros tegas.
Kami meredah hutan, dan tiba-tiba Kai menghentikan langkahnya. Matanya tertumpu pada skrin komputer di tangannya. "Eh, ada gelombang aneh muncul secara tiba-tiba," katanya sambil menunjuk ke arah radar.
Ros mendekat untuk melihat. "Ini gelombang radiasi yang boleh mematikan alat telekomunikasi. Mirip dengan insiden di Rusia dulu."
Namun, Roger menyampuk, menunjuk ke arah paparan radar. "Cuba kau tengok betul-betul. Bentuk gelombang ini lain daripada yang pernah kita lihat sebelum ini."
Ros mengangguk perlahan, menganalisis dengan teliti. "Betul. Gelombang ini seakan-akan berasal daripada makhluk hidup."
Sementara itu, Max sibuk menebang pokok yang menghalang laluan kami. Peluh membasahi wajahnya, tetapi dia tetap berbicara dengan nada tegas. "Aku tak pasti apa sebenarnya yang berlaku dengan misi protokol ini. Tapi satu hal yang aku tahu, kita mesti cepat! Tinggal dua hari sahaja sebelum protokol itu boleh diaktifkan."
Dia memandang Kai seketika sebelum berkata, "Nasib baik komputer itu dah kita ubah suai."
Kai tersenyum kecil dan menjawab, "Ya, terima kasih sebab bantu aku ubah suai komputer ini. Sangat berguna."
Ros memandang Kai dan menambah, "Kami tahu kau suka bermain permainan video, dan kau memang hebat sebagai seorang programmer. Sebab itulah kami mahu kau sertai SCI."
Kai melangkah menyeberangi anak sungai sebelum menjawab dengan nada tenang tetapi tegas. "SCI, ya? Jadi ejen khas? Maaf, aku tak berminat. Aku ada kehidupan sendiri yang perlu dijaga, dan ada seseorang yang aku perlu cari. Tapi kalau ada misi besar yang perlukan seorang programmer, panggillah aku. Aku akan bantu selagi ia tak mengganggu kehidupan aku."
Setiap langkah yang kami lalui di hutan semakin mencabar. Vegetasi menjadi lebih tebal, dan Max terpaksa menebas jalan dengan pedangnya. Di setiap sudut, bahaya yang tidak diduga menanti. Max membelah dahan pokok dengan tenaga yang luar biasa, sementara Kai bertanya, "Kenapa kamu semua menganggap aku ni penting?"
"Bila pula kami kata begitu?" jawab Roger dengan nada sinis.
"Ya, lah! Kamu semua selalu memerlukan bantuan aku. Sampai nak jadikan aku ejen SCI pula," balas Kai, sedikit kesal.
Ros memandang Kai sebelum menjawab, "Susah nak dijelaskan... Dulu kami berhadapan dengan misi yang hampir mustahil. Kemudian, kami jumpa seorang programmer yang membantu kami. Tapi malangnya, dia mati lebih awal—sebelum Raimundor tewas."
Max yang masih menebas semak samun segera menyampuk, "Raimundor lagi? Boleh tak kita berhenti sebut pasal dia? Setiap kali nama Raimundor disebut, aku rasa bersalah, tahu tak?"
Tiba-tiba, komputer Kai berbunyi, menandakan protokol sudah hampir. Kami semua bersiap sedia dan bergerak dengan penuh berhati-hati. "Hati-hati! Protokol mungkin berada di sekitar sini," kata Max sambil menyerahkan Pedang Emas kepadaku sebagai langkah berjaga-jaga.
Kami memeriksa setiap semak samun dengan teliti. Kemudian, komputer Kai menunjukkan gelombang yang aneh. Keadaan menjadi keliru kerana gelombang itu tidak dapat memastikan koordinat sebenar protokol.
"Aku rasa lebih baik kita berpecah untuk cari lebih cepat," Roger mencadangkan.
Namun, Ros segera menolak, "Kita tak boleh berpecah. Kalau kita berpecah, keadaan mungkin jadi lebih buruk. Kita periksa setiap gelombang bersama-sama."
Roger merungut, "Tapi itu akan makan masa! Lebih baik kita berpecah."
Max membalas tegas, "Kalau kita berpecah, salah seorang daripada kita mungkin tak akan selamat."
Kai, yang sedang fokus pada komputernya, mencelah, "Jangan risau! Aku takkan mati semudah itu!"
Pedang Emas yang aku pegang tiba-tiba terasa berat. Ada sesuatu yang aneh—ia seakan-akan menarikku ke arah tertentu. "Kenapa ni?" Ros bertanya kepadaku, jelas keliru.
"Aku tak tahu! Tapi aku rasa... ia ada di sekitar sini." Aku segera berlari, mengikuti naluri pedang itu.
"Mungkin ia ada di sini! Cepat!" Aku melaung sambil meredah hutan tebal, dan Max terus mengejarku. "Nanti dulu, Hazrul!" Max memanggil, cuba mengejar langkahku.
"Hei! Kamu berdua!" Ros menegur, kelihatan resah.
Sementara itu, komputer Kai mula memberi isyarat semula. Dia memandang ke arah Ros dan Roger, berkata, "Nampaknya komputer ini sudah berfungsi semula. Eh, tunggu... Gelombang ini bukan menuju ke arah Hazrul. Ia berada di depan kita—lebih kurang 20 meter dari sini."
Roger mengangguk sambil menambah, "Pedang Emas nampaknya memberi isyarat yang salah kepada Hazrul."
Ros membantah tegas, "Tidak, Pedang Emas tidak pernah salah. Ia cuma mencari musuh lamanya. Pedang itu mahu Hazrul menewaskannya. Ia mahu pewaris dikalahkan."
Mereka tiba-tiba terdengar suara pelik dari arah hutan yang gelap. Tanpa membuang masa, mereka bergerak untuk memeriksanya.
Aku dan Max hanya mengikuti ke mana Pedang Emas mahu kami pergi. "Hei, Hazrul! Kau nak ke mana ni? Hah?" tanya Max sambil mengejarku dengan nafas yang semakin berat.
Aku berlari tanpa henti sehinggalah tiba-tiba aku terjatuh, tersadung sesuatu di tanah. Di depanku, seorang lelaki bertopeng berdiri dengan pedangnya yang tajam, dihalakan tepat ke arahku. Aku terpaku, terkejut dengan kemunculannya.
"Apa yang kau buat ni, lembab?!" tegur sang bertopeng dengan nada sinis.
Tidak lama selepas itu, Max akhirnya tiba, mengejarku dengan wajah yang penuh kehairanan. Dia menghembus nafas lega sebelum bertanya, "Hei, kenapa kau tiba-tiba lari? Kau nak cari masalah ke?"
Aku berdiri perlahan, membersihkan kotoran di pakaian sebelum menjawab, "Aku tak tahu... tapi aku rasa pedang ini mahu aku pergi ke sesuatu tempat."
"Itu mengarut!" tegas sang bertopeng sambil menghampiri kami dengan langkah yang yakin.
Dia kemudian menjelaskan, "Gelombang yang dikesan tadi sebenarnya palsu. Ia diciptakan oleh sang Joker untuk memerangkap kamu semua. Tujuannya? Memisahkan kamu semua dan membunuh satu persatu. Tapi nasib baik aku sempat tiba di sini."
Sang bertopeng berhenti sebentar, memandang sekeliling sebelum bertanya, "Mana yang lain?"
Max menjawab sambil mengeluh, "Kami berpecah sebentar tadi."
Sang bertopeng memukul dahinya dengan tangan, kecewa mendengar jawapan itu. "Alamak! Aku dah agak dah!"
"Jadi, apa sekarang?" tanyaku dengan nada risau.
"Kita cari mereka sebelum mereka dibunuh!" balas sang bertopeng tegas.
Sementara itu, Roger, Ros, dan Kai... Mereka sedang memeriksa isyarat gelombang pada komputer Kai. Radar menunjukkan kekuatan isyarat semakin kuat dan jarak lokasi semakin dekat. "Nampaknya, kita sudah hampir," kata Kai, matanya tertumpu pada skrin komputer.
If you spot this tale on Amazon, know that it has been stolen. Report the violation.
Roger, yang memegang kapak, terpaksa menebas semak samun yang semakin lebat. Perjalanan mereka menjadi semakin sukar dengan hutan yang tebal dan penuh halangan.
Akhirnya, mereka tiba di lokasi yang dituju. Namun, apa yang menanti mereka bukanlah tempat yang selamat—mereka telah sampai ke lembah kematian.
Angin dingin meniup perlahan, membawa bersama suasana yang menyeramkan. Ros memandang sekeliling, merasakan ada sesuatu yang tidak kena. "Kai... kau pasti ini tempatnya?" tanyanya, cuba menahan keresahan.
Kai mengangguk perlahan, "Ya... radar menunjukkan ini lokasi protokol. Tapi kenapa... tempat ini rasa..."
Sebelum sempat dia menghabiskan ayatnya, suara aneh mula bergema dari lembah itu. Mereka bertiga segera bersiap sedia, menyedari bahaya yang sedang menunggu.
Aku, Max, dan sang bertopeng tiba-tiba terdengar laungan yang menggema dari lembah. Suaranya begitu dalam dan mengerikan, membuat bulu roma meremang hingga ke tulang belakang. Tanpa ragu, Max dan sang bertopeng segera mengeluarkan pedang mereka, bersiap siaga menghadapi apa sahaja yang muncul dari kegelapan. Aku menggenggam erat Pedang Emas, merasakan ada sesuatu yang tidak kena—pedang itu seolah-olah resah di tanganku, seakan-akan mengetahui lebih banyak tentang ancaman ini daripada aku sendiri.
Dari balik lembah hutan yang gelap, bayang besar mulai bergerak. Tapak kaki berat semakin jelas kedengaran. Kemudian, seekor binatang buas memunculkan diri. Mata merahnya berkilau di bawah cahaya hitam yang terpancar dari batu bercahaya di tangannya. Batu itu memancarkan aura gelap yang membuat Pedang Emas bergetar hebat, hampir seperti ia cuba melawan sesuatu yang tidak dapat dilihat.
"Tentu kamu kenal ini, kan?"
Sebuah suara bergema, sinis dan tajam. Dari balik kegelapan, Joker melangkah keluar, tersenyum penuh teka-teki. Dia memandang binatang buas itu dengan bangga, sebelum mengeluarkan sesuatu dari sakunya dan memberi makan kepada binatang itu.
"Cantik, kan, haiwan peliharaan aku ni?" katanya dengan nada penuh ejekan.
Aku, Max, dan sang bertopeng tetap bersedia, tidak memandang enteng ancaman yang berada di hadapan kami. Binatang itu melahap makanan yang diberikan Joker dengan gelojoh, rahangnya menggigit kuat seperti besi menghancurkan batu.
Joker kemudian menambah, suaranya mengandung nada puas, "Dia suka makanan berkaitan daging. Tapi dia lebih suka daging manusia. Lebih-lebih lagi, manusia yang punya kemahiran bertempur jarak dekat."
Sang bertopeng, yang dari tadi memerhati dengan amarah yang membara, langsung bersuara lantang, "Woi, woi! Apa yang kau merepek ni? Siapa kau, dan kenapa kau selalu mengganggu urusan SCI? Hah?!"
Joker tersenyum lebar, matanya bersinar dengan rasa gembira. "Kita pernah berjumpa ke?" tanyanya sambil memiringkan kepala seperti seorang badut sadis.
Sang bertopeng mengerutkan dahi, cuba mengingat sesuatu, namun akhirnya menjawab, "Entah! Aku tak ingat. Tapi kalau kau musuh aku, aku akan hapuskan kau sekarang!"
Dengan pedang di tangan, sang bertopeng melompat ke arah Joker. Joker tidak berganjak, sebaliknya menyuruh binatang buasnya menyerang. "Haiwan buas lebih sesuai bertarung dengan haiwan buas, kan?" katanya sambil ketawa.
Binatang itu melompat ke arah sang bertopeng, cakarnya yang tajam cuba membelah tubuhnya. Namun sang bertopeng sempat mengelak dengan gerakan lincah. Joker, yang menyaksikan pertarungan itu, melompat kegirangan seperti seorang kanak-kanak yang mendapat mainan baru. "Wahh! Lagi, lagi! Tunjukkan aku kehebatan anak NPV ini! Ehh!"
Sementara itu, Max tidak mahu membuang masa. Dia menghunuskan pedangnya, cuba menikam Joker. Namun, Joker dengan mudah mengelak, melompat ke belakang sambil tertawa kecil.
"Kau pun nak main juga ke?" ejek Joker, senyumannya makin melebar.
Max tidak berganjak. Dia mengacungkan pedangnya tepat ke arah Joker dan berkata dengan suara yang penuh keyakinan, "Aku akan tamatkan kau sekarang juga!"
Namun Joker membalas dengan ejekan yang tajam, "Kau tu lemah, kau tahu tak?!"
Max tidak peduli. Dengan pedang di tangan, dia menyerang Joker, dan keduanya bertembung dengan kekuatan penuh. Suara logam bertemu logam bergema di tengah lembah, menambah ketegangan dalam suasana.
Aku berdiri di tempatku, Pedang Emas terus bergetar di tanganku. Rasanya seperti pedang ini tahu sesuatu yang aku tidak tahu. Permainan Joker ini jauh lebih dalam daripada yang terlihat, dan aku tidak tahu apakah kami semua dapat keluar dari sini dengan selamat.
Sementara itu, Ros dan Roger perlahan-lahan mendekati dinding protokol, berhati-hati dengan setiap langkah. Kai memerhatikan mereka dari jauh, berjaga-jaga dengan keadaan sekitar. Ros meletakkan tangannya di permukaan protokol, meraba-raba dengan penuh teliti sambil memandang sekeliling.
"Macam mana?" Roger bertanya, suaranya berbisik tetapi penuh dengan harapan.
Ros menutup matanya sejenak, cuba merasakan keaslian protokol tersebut. Beberapa saat kemudian, dia membuka matanya, wajahnya berubah muram. "Ini protokol palsu!" katanya tegas.
"Apa?!" Roger hampir tidak percaya. Rasa bimbang mula menyelubunginya.
Ros segera memberi arahan kepada Kai. "Kai, cepat hubungi pihak atasan! Kita kena laporkan ini sekarang."
Kai mengangguk dan cuba mengaktifkan komunikatornya. Namun, selepas beberapa percubaan, dia menggelengkan kepala. "Gelombang isyarat tak berfungsi. Ada sesuatu yang menghalangnya," kata Kai, kebingungan.
Mereka saling berpandangan, tertanya-tanya apa yang sedang berlaku. Ketegangan semakin memuncak apabila bunyi tepukan tangan yang perlahan tetapi jelas mula bergema di udara. Tepukan itu semakin dekat, menambah rasa cemas.
Dari kegelapan, seorang lelaki muncul. "Sharon!" Roger berteriak, matanya terbeliak. "Hidup lagi kau!"
Sharon tersenyum sinis, menyahut dengan nada mengejek, "Kau fikir anggota lemah seperti sang bertopeng mampu memusnahkan aku? Kau terlalu meremehkan aku, Roger."
Tanpa amaran, Sharon melancarkan serangan kilat ke arah Roger. Roger segera menangkis dengan kapak di tangannya, tetapi kekuatan Sharon jauh lebih dahsyat daripada yang dijangkakannya. Serangan bertubi-tubi dari Sharon memaksa Roger mundur beberapa langkah, hampir hilang keseimbangan.
Ros menyaksikan pertarungan itu dengan waspada, bersedia untuk bertindak. Dia memandang Kai dan memberi arahan tegas, "Kai, lari sekarang! Pergi dapatkan bantuan dari pihak atasan. Jangan tunggu!"
Kai tidak membantah. Dia segera berlari meninggalkan kawasan itu, menuju Akademi Putra. Di sana, SCI sedang cuba menghubungi kumpulan kami, tetapi mereka gagal. Sebagai langkah terakhir, mereka menghantar pasukan SRM untuk mencari kami.
Max, Joker, dan sang bertopeng masih bertarung sengit. Joker semakin menunjukkan kemampuan luar biasa, menyerang dengan gerakan yang tidak terduga. Ketagihannya terhadap pertempuran terlihat jelas di wajahnya, membuat Max semakin gentar.
"Penat, ya?" Joker mengejek Max sambil menyerangnya tanpa henti.
Sang bertopeng, yang sedang bertarung dengan binatang buas, cuba mencari jalan untuk menamatkan pertarungan ini. Dia melihat ke arahku dan Pedang Emas yang masih bergetar di tanganku. Seolah-olah mendapat ilham, dia berseru, "Hazrul! Lemparkan Pedang Emas itu ke mari!"
Aku segera menurut dan melemparkan pedang itu. Sang bertopeng menyambutnya dengan cekap, kini memegang dua bilah pedang di tangannya. Dia memandangku sambil tersenyum tipis. "Kau nak tengok tak? Teknik pedang yang aku ajar kau. Begini caranya!"
Dia mengalihkan perhatian binatang buas itu, gerakannya lincah seperti bayangan. Dengan mata tajam, dia mencari titik kelemahan makhluk itu. Akhirnya, dengan gerakan pantas, dia menyerang, membelah perut binatang itu hingga membentuk huruf X, seperti teknik yang pernah dia ajarkan padaku.
Namun, dia tidak berhenti di situ. Dengan dua bilah pedang di tangannya, dia menghayunkan serangan terakhir, membentuk huruf V di kepala makhluk itu. Dalam sekejap, binatang buas itu hancur berkecai menjadi abu, diserap oleh aura hitam dari batu yang dipegangnya.
Max rebah ke tanah, nafasnya tersengal-sengal, tidak lagi mampu berlawan. Joker mendekatinya dengan langkah perlahan, senyumannya penuh ejekan. "Ayuh, bangunlah! Kau kata kau hebat, kan? Jadi cepat bangun dan lawan aku!" katanya, mengejek Max tanpa belas kasihan.
Sang bertopeng tidak membuang masa. Dia melancarkan serangan ke arah Joker. Joker dengan mudah mengelak, matanya tertuju ke arah binatang buas yang telah mati. "Dah mati, rupanya!" katanya sambil tersenyum sinis.
Di kejauhan, Joker melihat sekumpulan pasukan SRM sedang mendekat. Dia segera memberi arahan kepada Sharon. "Sharon! Kita kena beredar sekarang!"
"Baiklah!" Sharon menjawab sambil melepaskan diri dari pertarungan dengan Ros dan Roger. Sebelum melarikan diri, Sharon mengeluarkan bom pemedih mata dari sakunya dan melemparkannya ke arah mereka.
Kabus tebal mula menyelubungi kawasan itu. Ros dan Roger terbatuk-batuk, terpaksa menutup mata mereka untuk menghindari kesan bom. Dalam kekacauan itu, Sharon dan Joker meloloskan diri ke dalam hutan, meninggalkan kami dalam keadaan tertekan dan penuh persoalan.
Setibanya pasukan SRM, mereka segera bergegas ke kawasan kami, dengan wajah serius dan penuh tanya. Mereka tidak membuang masa, bertanya tentang apa yang telah berlaku di sini. Ros dan Roger, yang masih dalam keadaan terperangkap oleh kesan bom pemedih mata, akhirnya ditemukan. Ros, dengan wajah yang masih berkerut, memaklumkan kepada unit SRM bahawa apa yang mereka temui bukan protokol asli, sebaliknya hanya palsu.
"Misi ini gagal dilaksanakan," kata Ros dengan nada tegas, meskipun jelas ada keletihan dalam suaranya.
Sang bertopeng, yang sebelum ini sedang mencari sesuatu di sekitar kawasan itu, akhirnya mengundurkan diri, mungkin untuk mencari Joker yang masih hilang. Aku hanya duduk di bawah sebuah pokok, keletihan setelah pertempuran yang tak berkesudahan. Fikiran aku berkecamuk tentang apa yang telah berlaku, dan tentang nasib Kai yang masih belum jelas.
Tiba-tiba, aku terdengar suara jeritan. "Dimana Kai?"
Ros, yang masih berusaha untuk memulihkan diri dari pertempuran, menjawab dengan nada sedikit kelelahan, "Bukan ke kami suruh dia mencari bantuan kamu semua?"
Mereka menjawab, dengan suara yang jelas penuh kebimbangan, "Kai tidak ada di Akademi!"
Aku tergamam. Dada aku seakan tersentak mendengar perkataan itu. Jantungku berdegup lebih kencang. "Apa?"
Fikiran aku berputar pantas, cuba mencari jawapan. Sekiranya Kai tidak berada di Akademi, ke manakah dia pergi? Apa yang terjadi padanya? Adakah dia masih hidup, atau lebih teruk, sudah hilang atau mati di tengah-tengah kekacauan ini? Aku tak mampu untuk membayangkan nasibnya, dan perasaan bimbang mula menguasai fikiranku.
Pihak atasan akhirnya memberi arahan agar kami segera pulang ke Akademi Putra. Mereka ingin bertemu dengan kami semua untuk menyelesaikan kekeliruan ini dan menanyakan soalan tentang apa yang sebenarnya berlaku.
Walaupun perasaan cemas tentang nasib Kai membelenggu kami, kami terpaksa menurut arahan dan pulang, tanpa sebarang kepastian tentang di mana Kai berada. Setiap langkah yang kami ambil terasa begitu berat, kerana fikiran kami hanya tertumpu kepada satu persoalan — di mana Kai?
Aku berharap, dengan sepenuh hati, agar Kai masih hidup. Walau di mana pun dia berada, aku berharap dia selamat. Namun, di dalam ketidakpastian ini, aku hanya mampu berdoa semoga dia masih diberi kekuatan untuk bertahan.
Tinggal 2 Hari Lagi.